Ketegangan antara Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Federal Reserve) dan Rumah Putih kini memuncak. Presiden Donald Trump secara terbuka mengkritik Pengerusi Fed, Jerome Powell, dengan melabelkannya sebagai “pecundang utama” dan menuntut agar kadar faedah diturunkan serta-merta tanpa sebarang soal jawab.
Trump memberi amaran bahawa ekonomi AS berisiko perlahan sekiranya Fed tidak segera melonggarkan dasar monetari. Beliau menegaskan bahawa tindakan awal amat penting, dengan alasan inflasi kini pada tahap minimum serta kos tenaga dan “kebanyakan barangan lain” terus menurun.
Penganalisis turut memerhati bahawa ini bukan kali pertama Trump menyerang Powell secara terbuka. Dilaporkan, Presiden dan pentadbirannya sedang meneliti saluran undang-undang untuk menyingkirkan Powell sebelum tamat tempohnya pada 2026.
Bagaimanapun, Powell kekal tegas mempertahankan kedudukannya. Beliau menolak keras sebarang desakan penyingkiran awal dan mengingatkan pentadbiran AS bahawa undang-undang melarang Presiden daripada memecat Pengerusi Fed sesuka hati. Naib Pengerusi Evercore ISI, Krishna Guha, memberi amaran bahawa sebarang cubaan Trump untuk memecat Powell boleh mencetuskan gelombang jualan besar-besaran di pasaran saham AS dan seterusnya melemahkan nilai dolar.
Perseteruan ini semakin memanas selepas Powell memberi amaran bahawa tarif yang dikenakan Trump boleh menyebabkan kenaikan harga, meskipun ekonomi sedang perlahan dan pasaran buruh semakin lemah. Sebagai reaksi, Presiden menggesa agar Powell “meletak jawatan secepat mungkin.”