Pertelagahan antara Presiden Donald Trump dan Kongres kini telah berkembang menjadi antara pertembungan politik paling mahal dalam sejarah moden Amerika Syarikat. Penutupan sebahagian operasi kerajaan persekutuan (government shutdown) yang kini memasuki minggu kedua, semakin membayangi prospek ekonomi negara, dengan kesan berantai yang membesar seperti bola salji.
Sektor perjalanan udara menjadi antara mangsa terawal. Kekurangan pengawal trafik udara menyebabkan kelewatan penerbangan tidak lagi berpunca daripada cuaca buruk atau kerosakan mekanikal, tetapi akibat kekurangan tenaga kerja di menara kawalan. Lapangan terbang dari Dallas hingga ke Chicago kini berubah menjadi ruang menunggu gergasi yang dipenuhi dengan pengumuman kelewatan berterusan. Persatuan Pelancongan Amerika Syarikat menganggarkan kerugian ekonomi mencecah AS$1 bilion bagi setiap minggu penutupan.
Pada minggu ini, seramai 250,000 kakitangan kerajaan persekutuan tidak menerima gaji mereka, manakala lebih dua juta individu dijangka bakal mengalami nasib sama menjelang minggu hadapan. Satu tarikh kritikal yang amat sensitif semakin hampir: 15 Oktober — di mana anggota angkatan tentera Amerika Syarikat mungkin tidak menerima bayaran gaji buat kali pertama dalam beberapa dekad. Ini boleh menjadi titik ledakan politik yang sukar untuk diabaikan oleh Presiden Trump sendiri.
Taman-taman negara ditutup, Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) hanya beroperasi dalam mod kecemasan, manakala AS$8 bilion peruntukan bagi program bantuan makanan kini bergantung sepenuhnya kepada rizab kecemasan berjumlah AS$150 juta — yang juga semakin berkurangan. Rumah Putih menyatakan hasrat untuk mengalihkan dana daripada hasil kutipan tarif, walaupun hala tujunya masih tidak jelas, seperti juga persoalan berkenaan sumber wang gaji kakitangan persekutuan.
Pakar ekonomi menganggarkan bahawa setiap minggu penutupan kerajaan menyumbang pengurangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 0.1 hingga 0.2 peratus. Namun begitu, dalam keadaan semasa, saiz sebenar kerosakan ekonomi menjadi sukar untuk dikenal pasti, memandangkan hampir tiada aliran data rasmi kerajaan yang dapat diakses. Pemberhentian kerja secara besar-besaran yang pernah dibimbangi oleh Rumah Putih masih belum berlakunya secara ketara, namun jika senario tersebut bermula, impaknya boleh mengakibatkan tekanan tambahan ke atas agensi dan jabatan persekutuan yang kini sedang bergelut untuk beroperasi — setelah terkesan oleh pendekatan penguncupan saiz kerajaan yang pernah diangkat melalui dasar pelangsingan sektor awam, ala Elon Musk, termasuk cadangan kontroversi berkaitan pemotongan bajet yang agresif.